PENDAKWAH DAN SENYUMAN MANIS
Seorang penulis barat telah menceritakan dalam bukunya tentang seorang peniaga yang mempunyai seorang jurujual wanita yang berpengetahuan dan pengalaman di dalam bidang perniagaan. Seorang peniaga lain pula juga mempunyai seorang jurujual wanita tetapi agak kurang berpengalaman. Tetapi mempunyai sedikit keistimewaan iaitu dia sangat pemurah dengan senyuman dan rajin beramah mesra dengan pelangan yang datang membeli.
Tetapi yang amat menghairankan ialah kedai yang memiliki jurujual kurang berpengalaman lebih ramai dikunjungi oleh pelangan. Mengapa terjadi sedemikian?
Begitulah hasil sebuah senyuman. Senyuman adalah titian di dalam kehidupan di mana ia merupakan jalan pertama di dalam perhubungan sesama insan. Dengan sebuah senyuman sahaja orang mudah tertarik dengan kita walaupun kita tidak cantik dan tampan sangat. Bayangkanlah kalau seseorang yang sentiasa berwajah masam, sudah tentu dia tidak digemari sekali walaupun berwajah cantik dan tampan. Malahan orang hendak menegur pun teragak-agak. Tetapi bagaimana orang yang mudah tersenyum dan manis air mukanya, sudah pasti orang akan berani datang mendekat. Secara tidak langsung senyuman memberikan satu gambaran atau nilai peribadi seseorang itu.
Seorang yang berwajah rupawan,bersuara lunak merdu pun tetapi kiranya wajahny sentiasa mencuka, kecantikan dan kemerduan suaranya itu sudah tiada ertinya. Bandingkan, antara seorang calon pertandingan ratu cantik yang mudah tersenyum dengan yang masam wajahnya, siapakah yang akan menjadi pilihan para juri, sudah tentu para juri akan memilih ratu cantik yang bukan sahaja cantik tetapi mukanya sarat dengan senyuman. Begitulah juga dengan keadaan kepada para pendakwah. Seorang pendakwah yang memiliki ilmu pengetahuan yang luas tetapi sukar untuk senyum, lebih sukar untuk mendekati masyarakat berbanding dengan seorang pendakwah yang sederhana ilmunya tetapi sarat dengan senyuman ketika berdakwah, lebih dekat masyarakat kepadanya.
Di dalam satu hadis Nabi SAW yang bermaksud :
“ Kamu tidak mungkin akan menguasai orang ramai dengan harta kekayaan kamu, tetapi kuasailah mereka dengan wajah yang berseri-seri dan budi pekerti yang luhur.”
Memandangkan pentingnya senyuman, ajaran Islam sangat menggalkan umatnya agar sentiasa bermanis muka dan mudah tersenyum sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Senyum itu adalah sedekah.”
Dengan senyuman dapat mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim antara sesama manusia. Dari senyuman inilah akan melahirkan ulfah iaitu kemesraan. Tercetuslah perasaan kasih sayang sesama manusia. Maka hasilnya akan melahirkan sikap tolong menolong malah melahirkan sikap rela berkorban kerana saudara. Itulah akhlak yang terhasil daripada ibadah yang berkesan.
Namun begitu bukan semua orang mudah tersenyum dan bermanis muka. Kadang-kadang ada yang berbakat, saya ni memang dilahirkan dengan wajah masam! Justeru itu cukupkah itu sebagai alas sebagai penutup kelemahan peribadi sendiri. Rupa wajah tidak boleh diubah tetapi akhlak atau sikap diri boleh diubah dan dibentuk dengan syarat individu tersebut mestilah mempunyai inisiatif yang sungguh untuk mengubahnya.
Kadangkala rasa diri hebat dan lebih baik daripada orang lain juga menyebapkan seseorang itu tidak mudah untuk memberikan senyuman kepada orang lain. Dalam hal ini perlulah bermujahadah dengan membuang prasangka terhadap orang lain, sebaliknya merasakan diri kita dan orang lain adalah sama sahaja kejadianya iaitu daripada setitis air mani yang hina. Rasakan orang-orang di sekeliling kita adalah saudara kita, sekalipun mereka mungkin pekerja-pekerja bawahan kita.
Kita mudah memberikan senyuman di ketika senang dan gembira, tetapi mudahkah kita tersenyum tatkala hidup dirundung malang, hati diserang resah gelisah? Mengapa orang yang hampir hatinya dengan Allah SWT mudah tersenyum tak kira di waktu senang dan susah. Seolah-olah hidup mereka tiada masalah, sedangkan orang-orang yang hampir dengan Allah SWT selalu di timpa ujian-ujian yang berat. Di sinilah peranan mujahadah.
Sifat mudah tersenyum dan bermanis muka ini sepatutnya diamalkan dan dimiliki oleh seorang pejuang atau pendakwah. Ini kerana pendakwah selalu berdampingan dan bergaul dengan masyarakat. Secara tidak langsung ia merupakan satu method untuk berakwah kepada orang lain. Seorang pendakwah yang kasar ibarat menghidangkan makanan yang lazat secara kasar. Sebaliknya pendakwah yang berakhlak, dengan senyuman sahaja sudah cukup menambat hati orang untuk menerimanya. Dengan senyuman juga sudah cukup untuk alat penghubung perasaan sekalipun mungkin antara keduanya tidak memahami antara satu sama lain kerana berlainan bahasa dan adat resam.
Justeru itu umat Islam haruslah berusaha untuk memiliki akhlak mulia. Wajah dunia pasti berubah kiranya operasi memberi senyuman digiatkan ke serata pelosok dunia.INDAHNYA ISLAM MANISNYA IMAN.
0 Ulasan:
Catat Ulasan
Langgan Catat Ulasan [Atom]
<< Laman utama