Rabu, 19 Mei 2010

Antara poligami dan lesen judi? Di mana maruah Islam

Pada masa kini ada tiga isu yang hangat dibincangkan oleh seluruh rakyat malaysia, isu pertama ialah apabila Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kepada ahli parlimen Kinabatangan sabah, isu kedua ialah kerajaan UMNO/BN meluluskan lesen judi dan isu yang ketiga dakwaan pengikut al-arqam/Rufaqa/Global Ikhwan bahawa Abuya Ashaari tidak mati tetapi ghaib dan sekarang berada di gua Ashabul khafi. Ketiga-tiga isu ini bagaikan pisang goreng laku dipasaran. Tetapi yang paling pentingnya sekiranya ketiga-tiga isu ini tidak diselesaikan dengan baik ia boleh menjatuhkan maruah agama Islam dimata orang-orang kafir.

Isu yang pertama ialah Datuk Bung berpoligami tanpa kebenaran daripada undang-undang negara kita. Walaupun di dalam agama Islam poligami tersebut sah dan tidak menyalahi syarak akan tetapi oleh kerana salah dari segi undang-undang ciptaan manusia akhirnya semua masyarakat memandang poligami adalah salah. Maka golongan yang anti Islam bersoraklah dengan penuh gembira kerana umat Islam sendiri yang menjatuhkan maruah Islam dan umat Islam. Kalau kita mengulas isu ini biarlah dengan cara Islam dan bukannya mengikut hawa nafsu. Pada saya, kenapa isu poligami ini dijadikan isu yang sensasi sehinggakan memberi gambaran Islam ini susah diamalkan, Islam ini banyak peraturan dan sebagainya. Sedangkan kalau kita melihat dari sudut agama poligami tidak salah dan poligami Datuk Bung adalah sah. Daripada Datuk Bung dan isteri keduanya ini melakukan maksiat lebih baik mereka berkahwin dan mereka terhindar daripada jatuh ke lembah dosa yang dikutuk oleh Allah SWT. Tetapi sebaliknya yang berlaku. Saya amat hairan juga kenapa isu kecil ini dijadikan isu yang besar tetapi isu lain yang lebih penting didiamkan dan tidak diambil perhatian oleh pihak-pihak berwajib.

Isu kedua ialah, pemberian lesen judi sempena dengan pertandingan piala dunia pada tahun ini yang terang-terang bercanggah dengan ajaran Islam dan undang-undang negara. Tetapi isu ini tidak diperjuangkan oleh ustaz-ustaz, pendakwah dan alim ulama. Termasuk lah yang mendakwa dan menghukum Datuk Bung berpoligami. soalan disini ialah adakah perbuatan poligami itu lebih besar dosa disisi Allah SWT berbanding dengan Judi? Semua umat Islam tahu apa jawapannya. Tetapi pihak-pihak yang duduk di jabatan agama senyap dan tidak berani menegur pemimpin yang melakukan maksiat sebaliknya menghukum mereka yang ingin mengamalkan ajaran Islam. Adakah golongan ini ingin menanggung dosa.

Saya amat kecewa dengan sistem pengurusan agama di malaysia, sebagai seorang yang memeluk agama Islam saya melihat hapraknya pengurusan agama di negara kita. Dan saya berani katakan pengurusan agama kristian lebih baik daripada sistem pengurusan yang kita jalankan sekarang. Sepatutnya pihak yang berwajib ini menghukum mereka yang membenarkan judi di negara kita kerana judi bertentangan dengan ajaran Islam dan bukannya menghukum mereka yang ingin mengamalkan ajaran Islam. Senanglah saya sebutkan pihak-pihak ini bodoh dan bebal. Dan mereka inilah yang menjadi ejen kepada pihak musuh untuk menghancurkan Islam, mereka mengaku Islam tetapi mereka sendiri yang menyukarkan Islam sedangkan Islam itu mudah, agama rahmat tetapi menjadi agama yang susah untuk diamalkan. Lalu hilanglah maruah agama Islam dan umat Islam menjadi hina di dunia.

Saya hendak mencabar kepada pihak-pihak ini supaya dakwa pemimpin yang meluluskan judi di negara kita, kalau mereka beragama Islam, dan betul-betul beriman kepada ajaran Islam. janganlah sibuk menghukum mereka yang ingin mengamalkan ajaran Islam, mereka yang ingin berdakwah, sibuk menangkap pendakwah yang tidak ada tauliah tetapi maksiat yang berlaku di dalam masyarakat puak yang suka mengangkap ini tidak pula mahu menjalankan kewajipan mencegah kemungkaran tetapi sibuk menghukum orang lain.

Isu yang ketiga ialah masalah yang ditimbulkan oleh pengikut Global Ikhwan yang tidak mempercayai kematian Ustaz Ashaari Muhammad, sebaliknya mereka mempercayai Abuya ghaib dan akan datang semula setelah daulah Islamiyyah berlaku dimalaysia. Kepercayaan ini di dedahkan di dalam media massa sebagai tatapan umum tetapi pihak yang berwajib hanya sibuk memberikan ulasan tanpa ada tindakan yang pantas untuk memulihkan aqidah kumpulan Global Ikhwan yang dikatakan menyimpang daripada ajaran Islam. Baru-baru ini pengikut Global Ikhwan membuat satu konsert di Markas mereka di rawang selama dua malam tetapi mereka hanya mengulas di dalam akhbar tanpa mengambil tindakan. Sekiranya perbuatan tersebut terdapat unsur-unsur yang boleh merosakan aqidah kenapa konsert ini tidak dihentikan sebaliknya terus dibiarkan berlaku. Kenapa perkara seperti ini dibiarkan terus berlaku. Inilah masalah umat Islam sekarang banyak bercakap tetapi malas untuk bertindak. Oleh itu antara sebab kenapa ajaran sesat yang berlaku di malaysia tidak dapat di selesaikan dengan baik kerana sikap ini ( banyak bercakap berkerja malas ).

Oleh yang demikian, apabila kita melihat isu ini dimana peranan kita sebagai seorang umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan Rasulnya. Marilah kita kembali kepada Islam supaya maruah Islam dan umat Islam tidak hina dan terhina. Kepada Datuk Bung saya ucapkan Tahniah diatas keberanian Datuk melawan arus. Janganlah Datuk merasa sedih kerana Datuk tidak bersalah dan poligami Datuk sah disisi syarak. Biarkan puak-puak yang suka menghukum ini menjawab dihadapan Allah SWT pada hari kiamat kelak.

Indahnya Islam Manisnya Iman